Jumaat, 27 Mei 2011

SEJARAH PENUBUHAN SURAU JUMAAT NURUL ISLAM DESA PAHLAWAN/KG. PERWIRA JAYA

Penubuhan Surau Jumaat (Madrasah Nurul Islam) Desa Pahlawan/Perwira Jaya,  didirikan kira-kira pada tahun 1975 oleh penduduk Desa Pahlawan/Perwira Jaya serta penduduk sekitarnya secara bergotong-royong. Pada peringkat permulaan, surau ini hanya mampu menampung kira-kira 70 orang jemaah ketika kampung ini berstatus setinggan (rumah kilat) dengan menggunakan lampu minyak tanah. 

Pada tahun 1977, perkampungan ini telah dibekalkan dengan tenaga elektrik oleh TNB (LLN) dan penduduk kampung telah membesarkan madrasah ini sedikit demi sedikit sehinggalah perkampungan ini telah diberikan status HAK MILIK.

Penyerahan status hak milik ini sekaligus membolehkan penduduk membesarkan madrasah ini sehingga ia mampu menampung lebih kurang 600 – 800 orang jemaah pada satu-satu masa. Penambahan jemaah memberi lampu hijau kepada pihak pentadbiran untuk mengemukakan permohonan kepada pihak JAWI untuk menaikkan taraf status madrasah ini bagi membolehkan  sembahyang fardu Jumaat didirikan di madrasah ini. Setelah pihak JAWI melakukan penyelidikan dan melihat sendiri madrasah ini, pihak JAWI telah berpuas hati sekaligus memberikan kebenaran kepada pihak pentadbiran untuk menjadikan madrasah ini sebuah masjid untuk mendirikan solat fardu Jumaat dengan status SURAU JUMAAT pada tahun 1993 sehinggalah ke hari ini.

Untuk pengetahuan, madrasah ini telah pun diberikan kebenaran untuk mendirikan MASJID di lot PT2155 dan PT2156. InsyaALLAH, Jawatankuasa Pembangunan Masjid telah dalam proses akhir perancangan sebelum masjid ini dibina.